Panduan Menulis Artikel Akademik

8 Langkah Mudah Menulis Artikel Akademik

  1. Kenal Pasti Jurnal
  2. Rujuk Sampel Jurnal
  3. Kenal Pasti Skop Kajian
  4. Panduan Penulisan
  5. Semak Artikel Anda
  6. Penghantaran Artikel
  7. Ulasan Penilai
  8. Kos Penerbitan

Langkah 1: Kenal Pasti Jurnal

Pemilihan jurnal mestilah bersesuaian dengan tema atau bidang penulisan artikel yang bakal anda hasilkan. Jurnal sasaran anda mungkin mempunyai beberapa keperluan khusus berkaitan dengan penentuan abstrak, seperti bilangan perkataan. Murray (2009) berpendapat bahawa adalah sukar untuk melihat kesemua ciri-ciri penting dalam mengenal pasti jurnal sasaran. Enam jenis jurnal yang disarankan adalah berdasarkan populariti, profesional, aplikasi, akademik, merentas disiplin dan elektronik. Kaedah paling ringkas dalam mengenal pasti jurnal sasaran ialah dengan dengan merujuk kepada tajuk artikel yang diterbitkan oleh jurnal tersebut.

Langkah 2: Rujuk sampel artikel jurnal

Sampel artikel yang dirujuk dari jurnal yang telah dikenal pasti menjadi panduan penulisan yang boleh diikuti oleh penulis-penulis yang baru memulakan penulisan mereka. Tajuk-tajuk artikel keluaran terkini mahupun keluaran yang lepas boleh menjadi rujukan dalam memulakan penulisan anda. Sekiranya jurnal tersebut mempunyai akses yang mudah bagi memuat turun artikel secara percuma, maka anda perlu memuat turun artikel tersebut. Selain itu, letakkan semua sampel jurnal yang telah anda muat turun dalam fail yang dilabel. Ia akan membantu memudahkan urusan kerja anda apabila anda ingin membuat rujukan pada masa akan datang.

Langkah 3: Kenal Pasti Skop Kajian

Setiap jurnal mempunyai fokus atau skop kajian yang khusus. Pastikan skop kajian tersebut selari dengan artikel yang akan anda hasilkan.Penulisan yang tidak menepati tema atau skop kajian yang ditetapkan oleh sesebuah penerbitan jurnal kemungkinan tidak akan diterbitkan.

Langkah 4: Panduan Penulisan

Perkara pertama yang perlu anda pertimbangkan ialah format penulisan yang telah ditetapkan oleh jurnal tersebut. Kebiasaannya, pihak jurnal akan menentukan saiz dan jenis tulisan yang boleh digunakan, rangka teks artikel dan format menulis rujukan. Bagi bilangan perkataan pula, sesebuah artikel jurnal akademik biasanya mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Dicadangkan bilangan perkataan yang ideal bagi sebuah artikel akademik ialah 7000 patah perkataan.

Langkah 5: Semak Artikel Anda

Setelah menyiapkan draf pertama penulisan artikel, maka anda disarankan untuk membuat proofread atau semakan. Semakan tersebut boleh mengelakkan kesalahan ejaan, tatabahasa dan kelancaran penulisan serta memastikan laras bahasa yang betul. Anda boleh meminta kerjasama rakan anda yang mahir tentang bidang yang anda tulis untuk memberikan ulasan.

Langkah 6: Penghantaran Artikel

Cara penghantaran artikel adalah berbeza iaitu sesetengah jurnal menetapkan peraturan kepada penulis untuk menjadi ahli kepada jurnal tersebut melalui e-mel dan selepas itu anda boleh membuat penghantaran. Tujuan keahlian yang dikenakan kepada penulis adalah untuk memberitahu proses-proses yang perlu dilalui sebelum artikel anda diterbitkan. Maklumat tentang jenis jurnal, peratusan padanan, masa yang diambil untuk pemprosesan dan peluang untuk artikel diterima turut dinyatakan.

Langkah 7: Ulasan Penilai

Apabila penghantaran artikel telah dibuat, proses seterusnya ialah menunggu maklum balas penilai yang telah dilantik oleh pihak jurnal tersebut. Penilai-penilai tersebut dipilih dari pelbagai universiti yang mempunyai kemahiran  dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Kredibiliti mereka sebagai penilai turut diiktiraf oleh jurnal tersebut. Tempoh masa yang diambil bagi proses penilaian tersebut mengambil masa sebulan hinnga ke enam bulan dan terdapat jurnal yang memberikan markah atau gred terhadap artikel tersebut.

Langkah 8: Kos penerbitan

Apabila artikel anda diterima untuk diterbitkan maka anda perlu bersedia dengan wang yang cukup untuk membiayai kos penerbitan. Penerbitan artikel di peringkat antarabangsa memerlukan anda membayar serendah USD 200. Namun begitu, terdapat juga jurnal yang memberikan penerbitan secara percuma.

Lapan langkah penulisan yang dinyatakan merupakan langkah umum dalam memeulakan penulisan artikel masing-masing.

Advertisements